Ikhlas
adalah kalimat yang sering kita ucapkan dan dengar dalam kehidupan
sehari-hari. Dalam bahasa arab, orang yang ikhlas disebut sebagai
mukhlis. Ikhlas didefinisikan oleh para ulama' sebagai 'beramal
semata-mata kerana Allah.' Allah SWT berfirman:
(Iblis) berkata: " Demi kemuliaanMu, aku akan pasti menyesatkan
mereka semuanya. Kecuali hamba-hambaMu daripada kalangan al-Mukhlasin di
antara mereka".
[TMQ Shad (38): 82-83]
Al-Qurthubi di dalam tafsirnya mengatakan bahawa kalimat al-Mukhlasin di
akhir ayat di atas adalah merujuk kepada orang-orang yang ditanamkan
(dalam hatinya) keikhlasan oleh Allah SWT dalam mengabdikan diri
kepadaNya [al-Qurthubi XV/229]. Oleh yang demikian, al-Mukhlasin yang
disebutkan di sini bermaksud al-Mukhlisin (orang-orang yang ikhlas).
Betapa tingginya kedudukan orang-orang yang ikhlas
ini
sehinggakan iblis pun tidak sanggup untuk menyesatkan mereka. Bahkan
Saidina Umar Al-Khattab ra pernah bermunajat di dalam doanya, “ Ya
Allah, jadikanlah amalku sebagai amal yang soleh, jadikanlah ia ikhlas
semata-mata kerana wajahMu” (Fauzi Sanqarth, at-Taqarrub Ilallah, m/s
11). Malah, ramai para ulama' memberikan tumpuan yang
luar biasa dalam perkara ini sehinggakan banyak buku-buku diterbitkan untuk membahaskan tentang makna sebenar ikhlas.
Ikhlas Buahnya Adalah Ihsan
Ikhlas adalah amalan kalbu (hati). Walaupun ia tidak diketahui oleh
sesiapapun kecuali Allah, namun ia dapat diukur melalui amalan zahir
yang dilakukan oleh pelakunya. Perlu diketahui bahawa ikhlas bukanlah
sekadar tidak melakukan riya’ dan sum’ah.
Ketika kita ikhlas dalam beramal, yakni beramal semata-mata hanya kerana
Allah, bererti kita perlu menunjukkan bahawa amal kita hanya
dipersembahkan untukNya dan bukan untuk selain daripadaNya.
Persoalannya, adakah sesuatu yang ingin dipersembahkan hanya untuk Allah
itu dilakukan dengan ala kadar sahaja atau ian perlu dilakukan dengan
penuh berkualiti, istimewa dan bersungguh-sungguh?
Kita dapat melihat bagaimana seseorang yang ingin mempersembahkan
sesuatu untuk orang yang dicintainya, tentu ia akan melakukannya dengan
penuh bersungguh-sungguh dan dengan persembahan yang paling istimewa.
Bukan dengan ala kadar, jauh sekali dengan kualiti yang buruk. Begitulah
keadaan yang sepatutnya, jika seseorang yang ikhlas melakukan sesuatu
perkara hanya untuk Allah sebagai satu bentuk penghambaan kepada
penciptanya, tentu ia akan melakukannya dengan amalan yang terbaik dan
yang teristimewa untukNya. Akhirnya, ikhlas yang terhasil akan
membuahkan ihsan, yakni melakukan amalan yang terbaik sesuai dengan apa
yang dikehendaki oleh Allah SWT.
Ikhlas Dalam Berdakwah
Jika dikaitkan dengan aktiviti dakwah, ikhlas dalam berdakwah adalah
merujuk kepada dakwah yang dilakukan secara berkualitas, terbaik dan
penuh dengan kesungguhan. Seseorang da’i (pendakwah) yang ikhlas akan
sentiasa melakukan dakwah yang berkualiti dan terbaik untuk
dipersembahkan kepada Allah SWT. Pendek kata, ihsan akan tumbuh di dalam
dirinya ketika ia melakukan dakwah. Ini adalah kerana aktiviti dakwah
merupakan suatu kewajipan dan perintah daripada Allah SWT. Sebaliknya,
jika da’i tersebut tidak ikhlas, maka ia akan melaksanakan
aktiviti-aktiviti dakwahnya dengan tidak bersungguh-sungguh, ala kadar
dan sekadar 'cukup syarat' sahaja. Seolah-olah, dakwah tersebut
dilakukan bukan untuk Allah SWT.
Dalam beberapa kitab, para ulama' telah menyimpulkan beberapa ciri da’i
yang mana aktiviti-aktiviti dakwah yang dilakukannya tidak diiringi
dengan keikhlasan kepada Allah SWT. Antaranya:
1) Hanya melakukan dakwah ketika waktu lapangnya sahaja.
2) Melakukan dakwah dengan sikap yang
malas. Ia jarang sekali berdakwah ataupun sering mengabaikan dakwah.
3) Kalau pun ia berdakwah, ia akan berusaha melemparkan beban dan
tanggungjawab sesuatu dakwah itu kepada orang lain. Jika ada kesempatan,
ia akan
cuba mengelak daripada sesuatu bebanan tugas dakwah yang diberikan kepadanya.
4) Tidak bersungguh-sungguh dalam mengerjakan sesuatu tugasan dakwah yang diberikan kepadanya.
5) Mudah berputus
asa dan mudah kecewa ketika menghadapi pelbagai ujian dan rintangan dalam berdakwah.
Dengan merenung lima ciri di atas, seseorang yang mengaku dirinya
sebagai hamlud dakwah (pemikul tugas dakwah) tentu dapat menilai
dirinya sendiri, sejauh manakah dakwah yang dilakukannya itu ikhlas
ataupun sebaliknya. Ini sekaligus dapat memastikan sama ada amalannya
dapat diterima oleh Allah ataupun tidak. Amatlah rugi jika amalan yang
dilakukannya itu ditolak oleh Allah SWT. Allah dan RasulNya telah
menempatkan kedudukan yang
tinggi dan terpuji bagi orang-orang yang mengerjakan amalan dakwah. Allah SWT berfirman:
“Dan siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru
(dakwah) kepada Allah dan ia mengerjakan amal soleh dan berkata,
'Sesungguhnya aku tergolong daripada orang-orang Muslim'” [TMQ Fushilat (41): 33]
Rasulullah saw juga bersabda:
“Barangsiapa yang menyeru (manusia) kepada petunjuk (al-Huda), maka
baginya pahala yang setimpal dengan pahala yang ia lakukan (dakwah)” [HR Muslim]
Justeru, dakwah sebenarnya adalah merupakan kewajipan (fardhu) bagi umat
Islam dan bukannya amalan sunat. Bahkan, ia sekali-kali tidak boleh
diganti dengan sesuatu kafarah (tebusan) apa pun jika ia ditinggalkan.
Maka adalah wajar jika para Nabi dan Rasul menjadikan amalan dakwah ini
sebagai misi di dalam hidup mereka. Hal ini dapat kita lihat daripada
ucapan Nabi Nuh as, sebagaimana yang dirakam di dalam al-Quran:
“Dia (Nuh) bekata, 'Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku telah menyeru kaumku siang dan malam'”.
[TMQ Nuh (71): 5]
Nabi Nuh as berdakwah menyeru kepada umatnya agar beriman kepada Allah
SWT lebih kurang 950 tahun. Ia dilakukan pada siang dan malam tanpa jemu
terhadap umatnya. Demikian pula yang dilakukan oleh baginda Nabi
Muhammad
saw selama 23 tahun sejak baginda diangkat menjadi Rasul Allah. Ini
semua menunjukkan betapa para Nabi dan Rasul mengerjakan amanah dakwah
ini dengan penuh keikhlasan. Mereka mempertaruhkan usia, tenaga,
fikiran, harta benda bahkan nyawa mereka di jalan dakwah.
Moga-moga kita semua dapat memuhasabah diri masing-masing dengan melihat
sejauh manakah keikhlasan kita dalam melaksanakan amalan dakwah dalam
kehidupan seharian kita. Kita berdoa kepada Allah SWT agar kita
tergolong daripada kalangan hamba-hambaNya yang benar-benar mukhlis
(ikhlas), yang senantiasa mengikhlaskan amalan dakwah semata-mata kerana
Allah SWT, dengan mempersembahkan amalan dakwah yang terbaik untukNya.
Amin ya rabbal 'alamin..
Komentar
Posting Komentar